Melawan Sombong dengan Membaca Kejahilan Diri

Azzad Mahdzir • 01 May 2024

Penulisan ini ditujukan untuk penerbitan di Queer Lapis www.queerlapis.com

Jiwa dan Ragam

Setiap kelahiran manusia adalah kejadian jiwa yang hinggap di sebatang tubuh. Setiap tubuh terkandung sel, kromosom, gen dan DNA dengan jumlah-jumlah yang tak sama. Kromosom terhasil daripada gen, dan gen terhasil daripada molekul DNA. Kromosom mempunyai struktur seperti bebenang dan terletak di dalam nukleus sel semua hidupan yang bertebaran di alam semesta ini.

Kromatid (Kromosom) terhasil daripada Gen terhasil daripada DNA

Lazimnya, setiap orang mempunyai 23 pasang kromosom, manakala satu pasang yang terakhir mewakili kromosom seks atau jantina.

Berbicara tentang kejantinaan, ramai dalam kalangan ahli masyarakat yang tak sedar atau belum mahu mengakui keberadaan ragam dan rencam orientasi seksual, identiti gender, ekspresi dan ciri-ciri jantina yang terbit dari DNA. Kejadian manusia juga adalah realiti pengalaman mereka itu sendiri.

Rujukan: Klinefelter syndrome | Definition, Symptoms, Treatment, & Life Expectancy | Britannica
Akar Diskriminasi adalah Kejahilan

Pengabaian fakta sains bukan sahaja menyemai prasangka, malah membuahkan diskriminasi, dan ini sering berakar dari kejahilan. Berada dalam keadaan jahil pasti membuatkan sesiapa pun tersasar apabila menilai, memilih dan berkeputusan. Lebih parah, komuniti LGBTQIA+ disabitkan hukuman terhadap mereka oleh pihak yang bukan sahaja tak memahami mereka secara jujur dan menyeluruh, malah makin menjadi-jadi ditujukan kekerasan dalam premis moral, sosial, fizikal, politik, dan paling menyedihkan, premis rohani.

Kekerasan pihak luar dengan komuniti LGBTQIA+ itu berpisah tiada. Apa pun tingkat kejahilan warga, tak sedikitpun menghalalkan kebimbangan, kepanikan, kemurungan dan kematian yang terjadi dalam komuniti ini. Malah di Malaysia, hentaman makin dinormalisasi, ego heteronormatif melambungkan rasa unggul, dan sudahnya, nilai anti kemanusiaan dicanang lantang, penuh sombong.

Kejadian manusia yang berbagai rencam merupakan suatu hikmah semesta dan jenis kejadian kita bukanlah satu-satunya piawaian yang mewakili semua orang. Walau bagaimanapun, jarang pula ditemukan ruang yang menawarkan pendidikan, pencerahan atau wacana terkait jantina,  gender dan seksualiti dalam bahasa ibunda.

Atas dasar itu, sukacita diperkenalkan Pusat Sumber Rainbow Forward yang menawarkan koleksi sumber maklumat berkenaan orientasi seksual, identiti gender, ekspresi gender & ciri-ciri seks dan hak asasi manusia. Terdapat juga nota modul Bagaimana untuk Menganjurkan Bengkel, modul SOGIESC, dan modul tentang Pertindanan (atau Intersectionality) yang selaras dengan hak asasi manusia sejagat.

Ulasan Pintas Pusat Sumber Rainbow Forward

Sesuai untuk para guru, pengajar, dan nara sumber yang menjalankan bengkel pendidikan atau kelas, tersedia 3 modul rancangan pengajaran dan panduan penganjuran bengkel secara percuma. Berikut adalah ulasan pintas tentang Pusat Sumber Rainbow Forward.

Modul 1: Bagaimana untuk Menganjurkan Bengkel

Sekiranya anda baru bermula untuk menganjurkan bengkel, modul ini sangat bermanfaat untuk anda kerana ia mencakupi:

Apa yang menarik tumpuan kami, modul ini memberi peringatan agar fasilitator tidak gentar mengurus emosi dan perasaan semua tamu dalam tanggungjawabnya. 

Memandangkan subjek-subjek dalam modul ini berpotensi mencetuskan reaksi atau trauma, semua yang mengambil bahagian harus berusaha untuk bukan sahaja berada dalam ruang selamat, tetapi juga ruang berani. Berani belajar, berani salah dan berani mengubah ketidaksedaran serta kejahilan.

Modul 2: SOGIESC 

Selalu kusut dengan she/they? Apa pula maksud bukan binari dan endoseks?

Manfaatkan modul ini untuk menyelami istilah SOGIESC. Selain mengupas binari tubuh, identiti, ekspresi diri, serta memahami stereotaip gender, orientasi seksual dan jantina, kenali apakah yang membentuk jati diri kita sebagai individu? 

Penting untuk diperhatikan, lazimnya komuniti queer di rantau Nusantara memang diterima baik dalam masyarakat tradisional. Mereka pun ada meninggalkan warisan terhormat sebelum negara-negara di rantau ini dipengaruhi nilai bawaan kolonial dalam premis moral, sosial, fizikal, politik dan agama, baik dari blok Eropah mahupun Timur Tengah.

Fahami modul ini dengan baik dan pisahkan fakta dari yang mitos dalam rangka psiko-sosial kita.

8
Modul 3: Pertindanan

Mengapakah agaknya warna kulit, gender, bangsa, orientasi seksual dan status ekonomi kita—sekadar menyebut beberapa punca—adalah penentu bagaimana kita dilayan di muka bumi ini?

Jika ini soalan yang berlegar di kotak pemikiran anda, anda akan dapat memanfaatkan konsep pertindanan (atau intersectionality) dalam analisa diskriminasi jati diri komuniti terpinggir.

Dengan memahami realiti jenis-jenis kuasa dan keistimewaan, kita dapat menyelami kepelbagaian interaksi identiti yang seterusnya membuahkan corak penindasan yang berbeza.

Melalui lensa pertindanan, kupasan kita tentang hubungan rapat keistimewaan dan penindasan juga lebih terarah.

9
Dunia ini Sekolah

Menerusi modul-modul tersedia, diharapkan juga golongan ibu bapa, ahli keluarga, sahabat handai dan sekutu komuniti ini berpeluang untuk mendalami realiti individu queer yang mereka sayangi dan hormati dalam hidup mereka.

Kami sudahi tulisan kali ini dengan terjemahan kata-kata Asha Nayaswami, seorang penulis dalam video Instagramnya baru-baru ini yang berpesan, 

“Dunia ini tak dimaksudkan untuk menjadi syurga. Dunia ini sekolah”. 

Sambungnya lagi:

Drama sebenar bukanlah peristiwa dunia, drama sebenar ialah pencarian sang individu untuk merealisasikan dirinya. Peluang individu itu sendiri, dari semasa ke semasa untuk membuat keputusan tentang ‘apakah dharma bagi aku?’ Dan apa yang dimaksudkan dengan dharma ialah tindakan yang mengembangkan kesedaran dirinya sendiri.

Sehingga 2022, terdapat 7.9 billion jiwa pelbagai kromosom dengan perjalanan realiti dan rezeki duniawi yang serba beragam. Layakkah dunia luas ini dinilai dengan hanya satu pandangan semata? 

Klik pautan ini dan mulakan pembacaan akar umbi golongan minoriti kita dan secara langsung membedah diri sendiri. Bersama kita terus mencari tahu tentang kemanusiaan kita, disamping mendukung persamaan dan merayakan perbezaan.

Salam sejiwa dan selamat menambah ilmu! 

Pusat Sumber Rainbow Forward

Azzad Mahdzir (dia/he/him) ialah seorang tenaga pengajar pendidikan emosi dan psikologi di Empathy For Youth Academy​